Thursday, February 28, 2019

Penjawat awam: Kerajaan perlu sedia pelan holistik

PUTRAJAYA 27 Feb. - Kerajaan perlu menyediakan pelan secara holistik sekiranya berhasrat mengecilkan saiz perkhidmatan awam di negara ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, pelan itu perlu bagi memastikan penjawat awam yang terlibat dalam proses pengecilan tetap mempunyai pekerjaan lain bagi menyara kehidupan mereka selepas diberhentikan.

Beliau berkata, kakitangan awam dianggar berjumlah 1.7  juta atau 12 peratus daripada anggaran 14.9 juta guna tenaga merupakan tunjang, penggerak kepada ekonomi dan kemajuan negara.

"Justeru, kerajaan perlu ada kerangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengurangkan penjawat awam di negara ini.

"Kerajaan tidak boleh mengambil tindakan mengejut mengecilkan saiz penjawat awam, kecuali kerajaan sedia membayar pampasan.

"Jika bayar pampasan sekali pun, kerajaan perlu menyediakan peluang-peluang pekerjaan dalam sektor dan bidang lain kepada mereka. Ini untuk memastikan kadar pengangguran tidak tinggi" katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai jumlah penjawat awam terlalu besar dan perlu dikecilkan.

Menurut Raduan, transformasi kepada perkhidmatan awam bergantung kepada saiz sebenar sektor itu yang diperlukan oleh kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 34 juta rakyat negara ini.

Ini termasuk mengurangkan pertindihan bidang kerja yang berlaku di kementerian-kementerian, selain menggalakkan pengurusan kerja yang pelbagai dan  fleksibel.

Beliau berpendapat, dalam konteks Malaysia, jumlah penjawat awam yang ada sebenarnya masih di tahap sederhana, berbanding sesetengah negara Scandinavia mempunyai kadar penjawat awam antara 20 hinga 25 peratus.

Ini kerana, jumlah terbabit turut membabitkan anggota keselamatan, pendidikan, kesihatan yang pada pendapat beliau, perlu ditambah selaras dengan pertambahan dan keperluan penduduk.

Ditanya punca isu terbabit timbul, Raduan berkata, isu mengenai penjawat awam kerap kali dibangkitkan apabila kerajaan perlu menyediakan bajet yang sangat besar untuk pembayaran emolumen, gaji dan sebagainya dianggarkan berjumlah lebih RM30 bilion setahun.

Beliau juga kurang bersetuju dengan cadangan agar umur persaraan dikaji semula mengambil kira jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin meningkat.
-utusan.

No comments: