Tuesday, January 3, 2012

SEMUA INISIATIF TERUS BERI FAEDAH DAN MANFAAT KEPADA RAKYAT - MUHYIDDIN

Bernama
31/12/2011



KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin semua inisiatif kerajaan di bawah Dasar Transformasi Nasional, yang diumumkan sepanjang 2011, akan terus memberi faedah dan manfaat kepada rakyat.

Sambil menyatakan syukur kerana inisiatif berkenaan disambut baik rakyat, beliau berkata Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan dua tahun lepas telah menunjukkan hasil positif dalam menambah baik sistem penyampaian kerajaan dan memacu ekonomi negara.

Beliau berkata Program Transformasi Luar Bandar dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan tahun ini pula diyakini mampu merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar serta antara kaum.

Katanya kesemua ini adalah pelengkap kepada usaha untuk mewujudkan sebuah negara maju, makmur dan sejahtera.

"Jutaan terima kasih kepada anda rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan padu kepada kerajaan dan bersama-sama kepimpinan negara dalam menjayakan agenda transformasi yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam perutusan Tahun Baru 2012 pada Sabtu.

Muhyiddin berkata selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Najib semasa membentang Belanjawan 2012 telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam membawa hala tuju negara.

Ini termasuk pengenalan Bantuan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Persekolahan RM100, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia, yang kesemuanya bertujuan meringankan beban hidup rakyat.

Bagi anggota perkhidmatan awam, Timbalan Perdana Menteri berharap beberapa penambahbaikan yang telah dipersetujui antara kerajaan dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung pelaksanaan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dapat dijadikan bukti komitmen kerajaan dalam membela golongan tersebut.

Justeru, beliau mahu anggota perkhidmatan awam berusaha dengan lebih gigih meningkatkan tahap kecekapan dan profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, turut menyatakan penghargaannya kepada guru-guru dan warga pendidikan yang memberikan sepenuh komitmen sehingga keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mencatat keputusan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Ini, katanya sekaligus membuktikan bahawa usaha gigih guru-guru dalam melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dan Program Pembangunan Sekolah telah menunjukkan hasil yang membanggakan.

"Terima kasih juga kepada para ibu bapa yang amat mengambil berat tentang pendidikan anak-anak dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan dalam meningkatkan mutu pendidikan," katanya.

Muhyiddin turut mengajak rakyat memulakan tahun baru dengan terus mengamalkan perpaduan, hormat menghormati antara kaum dan mengukuhkan kerjasama antara satu sama lain, bersesuaian dengan semangat 1Malaysia.

Masyarakat tidak harus memandang mudah perpaduan yang dikecapi kerana tanpa usaha dan persefahaman antara rakyat berbilang kaum dan agama, ia tidak akan tercapai, katanya.

Rakyat juga harus berbangga kerana keistimewaan Malaysia yang berupaya mengekalkan serta mengukuhkan kemerdekaan dan keharmonian di kalangan penduduk pelbagai agama, bangsa dan budaya.

"Marilah kita sama-sama mengukuhkan yang sedia utuh, merapatkan yang renggang dan meningkatkan persefahaman antara satu sama lain kerana sesungguhnya perpaduan dan keamanan yang dibina di atas semangat persefahaman dan penerimaan antara kaum adalah prasyarat utama untuk negara terus berkembang maju," katanya.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye pula meminta rakyat Malaysia berazam menjadikan negara ini tempat yang lebih selamat, bukan sahaja daripada pengganas, jenayah dan keganasan tetapi juga tragedi yang terhasil daripada tingkah laku manusia sama ada di jalan raya, kawasan kediaman ataupun di tempat kerja.

"Marilah kita semua berusaha ke arah merealisasikan 1Malaysia 1Komuniti Selamat di mana budaya keselamatan tersemai dalam setiap kehidupan rakyat Malaysia," katanya dalam perutusan Tahun Baru 2012.

Takrif 'Komuniti Selamat' Lee ialah di mana orang ramai hidup, bekerja dan bermain dalam persekitaran yang selamat.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jalan jerlus dan berlopak kerap berlaku kerana kegagalan masyarakat untuk membudayakan penyelenggaraan dan keselamatan sebagai satu cara hidup.

Rekod kemalangan jalan raya di negara ini turut menuntut perhatian segera dengan angka kematian yang mencecah 7,000 kes setiap tahun menggambarkan tahap keselamatan jalan raya yang dahsyat.

Lee berkata program Komuniti Selamat yang berkesan boleh dicapai melalui sinergi inisiatif keselamatan dan kesihatan yang dianjurkan pelbagai pihak termasuk kumpulan-kumpulan masyarakat yang berbeza, syarikat-syarikat tempatan, persatuan, sekolah-sekolah, agensi kerajaan dan kumpulan perkhidmatan lain.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dalam perutusannya pula berharap dengan kedatangan tahun baru, generasi belia di negara ini dapat menjadi aset yang mampu untuk meneruskan kelangsungan negara.

"MBM mahu belia bukan sahaja dilengkapi dengan pengetahuan serta kemampuan material malah perlu disediakan suatu persekitaran hidup yang sihat," katanya.

-- BERNAMA

No comments: