Friday, January 27, 2012

Tidak amanah punca koperasi gagal - Tun Mahathir

ALOR SETAR 26 Jan. - Sikap tidak amanah dalam kalangan pihak pengurusan dan ahli koperasi menjadi punca utama kegagalan kebanyakan koperasi di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau difahamkan walaupun terdapat lebih 8,000 koperasi ketika ini, hanya 20 peratus daripadanya yang berjaya termasuk mencatatkan keuntungan baik.

"Salah satu kelemahan dalam koperasi adalah pihak pengurusan dan ahli-ahlinya tidak jujur atau amanah dalam pengurusan wang koperasi terbabit. Selain modal wang, sikap mereka ini juga adalah 'modal' untuk menggerakkan koperasi.

"Contohnya, apabila memperoleh modal RM1 juta, belanjakan ia untuk menggerakkan koperasi, bukan RM500,000 sahaja untuk modal berniaga dan selebihnya hal lain tidak berkaitan. Akibatnya koperasi menanggung kos pengurusan tinggi dan keuntungan pula rendah," katanya ketika berucap pada Program Bicara Bersama Tokoh bertemakan Cabaran, Peluang dan Peranan Koperasi dan Korporat Ke Arah Mencapai Wawasan 2020 di Sekolah Menengah Keat Hwa di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim.

Berucap di hadapan lebih 2,000 ahli dan pihak pengurusan koperasi di seluruh negara, kata Dr. Mahathir, pengurusan cekap turut memainkan peranan menjayakan koperasi.

"Menguruskan koperasi termasuk soal kewangan memerlukan kecekapan. Misalnya, kalau sesuatu perniagaan itu semata-mata menggunakan modal daripada pinjaman bank maka perkara sedemikian hanya meningkatkan kos. Apabila kos tinggi tentu keuntungan sedikit.

"Itu belum termasuk kos untuk membayar gaji kepada pihak pengurusan," katanya.

Tambah beliau, kerajaan menyediakan pelbagai peluang untuk masyarakat termasuk koperasi membabitkan diri dalam bidang perniagaan terutama di bandar besar.

"Pelbagai peluang diberikan seperti perniagaan francais, sebab ia mudah dan tidak perlu modal besar dan promosi pun sudah ada. Harapan kita peniaga bumiputera mungkin mampu menguasai 60 peratus perniagaan di bandar.

"Tetapi mereka tidak berminat kerana perniagaan kecil, untung pun kecil, mereka nak besar. Jadi apa kita lihat, hanya satu kaum berniaga di bandar," katanya.

-Utusan Online/maa.

No comments: