Saturday, October 15, 2011

Bayaran bantuan persekolahan akan dibuat Disember ini

PORT DICKSON 15 Okt — Bayaran bantuan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negara ini seperti yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012, akan dibuat pada bulan Disember, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kelonggaran supaya pembayaran itu dilakukan sebelum sesi baru persekolahan bermula.

"Ini bermakna semua pelajar berhak untuk dapat jumlah itu tidak kira daripada kumpulan mana. Oleh kerana bajet ini untuk Januari tetapi Januari sekolah sudah bermula, kita minta ia dibayar pada bulan Disember kerana biasanya ibu bapa berbelanja bagi sesi persekolahan pada bulan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis bersama rakyat di Kampung Paya di sini.

Kira-kira 6,000 orang menghadiri majlis itu yang turut disertai Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bagan Pinang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

- Bernama/maa.

No comments: