Tuesday, October 18, 2011

Cuepacs mohon kerajaan timbang lanjut perkhidmatan penjawat awam berstatus kontrak

KUANTAN: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbang untuk melanjutkan perkhidmatan penjawat awam berstatus kontrak yang akan ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada penjawat awam di jabatan, agensi dan badan berkanun berstatus kontrak yang diberikan surat tidak dilanjutkan perkhidmatan mereka.
"Cuepacs akan menghantar surat secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memohon jasa baik beliau untuk melanjutkan kontrak pekerja berkenaan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun lagi," katanya selepas menyampaikan taklimat isu semasa di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, hari ini.
Beliau berkata, tempoh berkenaan bagi membolehkan penjawat awam berkenaan yang kebanyakannya daripada kumpulan pengurusan dan profesional memohon perjawatan tetap atau mencari pekerjaan lain bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, kerajaan seboleh-bolehnya diminta agar menyerap penjawat awam berstatus kontrak terbabit untuk memenuhi jawatan kosong yang wujud dalam perkhidmatan awam ketika ini.

"Ada antara mereka yang berkhidmat selama 15 tahun dan kalau ditamatkan begitu saja, sudah pasti akan menyusahkan kehidupan mereka yang mempunyai pelbagai bebanan dan tanggungan," katanya.

Omar berkata, terdapat kira-kira 45,000 pekerja berstatus kontrak pada masa ini, namun beliau difahamkan bukan kesemua mereka tidak dilanjutkan kontrak pada hujung tahun ini.
Sementara itu, beliau mengingatkan para graduan agar tidak berasa bimbang berhubung had umur persaraan yang dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun kerana ia tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan dalam sektor awam.

Katanya, bukan kesemua penjawat awam akan berkhidmat sehingga usia 60 tahun dan hanya mereka yang mempunyai kesihatan serta masih mampu menyumbang idea dan inovasi bakal diberikan keutamaan. - BERNAMA

No comments: