Tuesday, October 25, 2011

PENJAWAT AWAM PERLU DIBERI PELUANG TUNJUK KEBOLEHAN, KREATIVITI

KUCHING, 24 Okt (Bernama) -- Penjawat awam hendaklah diberi peluang menunjukkan kebolehan supaya mereka dapat menghasilkan idea-idea dan cadangan membantu jabatan atau agensi mencapai misi dan visi masing-masing.

Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin berkata mereka perlu membudayakan pemikiran proaktif dan inovatif untuk menghasilkan perubahan lebih cemerlang dan menyeluruh bukan setakat menambah baik idea, proses kerja serta peraturan yang lama sahaja.

"Kita perlukan prestasi cemerlang terus kekal di samping memperbaiki pencapaian rakan-rakan yang tertinggal di belakang selain membaharui sistem yang gagal," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan agensi persekutuan dan badan berkanun di sini Isnin.

Beliau berkata langkah dan usaha perlu dibuat membantu mengwujudkan perkhidmatan awam dinamik, mempunyai ketua jabatan dan anggota yang kreatif serta berpandangan jauh agar terus berkesan dan sesuai pada masa hadapan.

Munurut Md Yahaya, tugas dan fungsi penjawat awam serta persekitaran kerja kini sudah banyak berubah berbanding 30-40 tahun lalu khasnya dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan.

Beliau berkata ketika ini perkhidmatan cemerlang diukur berdasarkan pencapaian seperti memberikan perkhidmatan pantas dan memenuhi kehendak atau permintaan pelanggan yang pelbagai.

Katanya, sebagai penjawat awam mereka harus bersedia menghadapi dan seterusnya mengatasi perubahan dengan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kebolehan.

Kira-kira 500 penjawat awam persekutuan daripada pelbagai agensi hadir pada perhimpunan itu yang diadakan di Bangunan Sultan Iskandar Simpang Tiga di sini.

-- BERNAMA

No comments: