Saturday, October 15, 2011

Intervensi kerajaan penuhi impian rakyat miliki rumah

PUTRAJAYA 15 Okt. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, campur tangan kerajaan melalui program khusus telah membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah berkualiti.

Beliau berkata, kerajaan melalui program khusus seperti program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk membangunkan perumahan mampu milik bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. "Memiliki rumah sendiri adalah satu impian dan cita-cita rakyat yang diambil berat oleh kerajaan. Ini adalah kerana memiliki rumah sendiri akan menyemai perasaan memiliki.

"Kalau tiada campur tangan dan intervensi kerajaan melalui program khusus, maka ramai tidak mampu memiliki rumah yang berkualiti dan berdekatan dengan tempat kerja,” katanya pada Majlis Cabutan Undi Terbuka untuk 560 unit rumah mampu milik pertama yang dikendalikan Unit PR1MA di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias, Anggota Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr Jamaludin Mohd Jarjis.

Najib berkata, rumah dan tempat kerja yang berdekatan akan meningkatkan produktiviti kerja. Beliau berkata, penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar telah menimbulkan implikasi yang perlu ditangani kerajaan bagi mengelak pelbagai tekanan sosio-ekonomi.

"Apabila berlaku keadaan ini, mereka terpaksa tinggal di kawasan berjauhan dari tempat kerja yang akan menimbulkan pelbagai kesukaran, termasuk pertambahan kos pengangkutan. "Selain mengisi impian dan cita-cita rakyat untuk memiliki rumah, rumah dan tempat kerja yang berdekatan dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos perbelanjaan harian rakyat,” katanya.

Najib turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan usaha untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat di negara ini. 

— Bernama/maa.

No comments: