Monday, October 24, 2011

Pembelian rak risalah dibuat tanpa kelulusan - Ketua audit

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati pembelian 1,000 unit rak risalah Tahun Melawat Malaysia 2007 bernilai RM1.95 juta, telah dibuat secara rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

Menurut laporan itu, perolehan tersebut dibuat oleh Pejabat Menteri Pelancongan dan pembayaran oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM).

Dalam audit terhadap LPPM itu, didapati tidak ada perjanjian ditandatangani antara Kementerian Pelancongan atau LPPM dengan syarikat pembekal Leo Communications Sdn Bhd (LCSB), dan ia menyebabkan spesifikasi bekalan dan tempoh penghantaran tidak ditetapkan.

Laporan itu menyebut pihak audit tidak dapat mengesahkan sama ada pengedaran rak risalah diedarkan sepenuhnya dengan disertakan risalah pelancongan.

Pihak audit dalam laporan itu berpendapat, jawatankuasa penyiasat perlu ditubuhkan bagi menentukan sama ada terdapat ketidakpatuhan peraturan kewangan dan juga unsur penyelewengan dalam pembelian rak risalah tersebut.

Laporan itu, bagaimanapun, dimaklumkan LPPM bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan pembayaran bagi 773 unit rak bernilai RM1.51 juta pada 18 Mac lepas dan pihak Kementerian Pelancongan mengeluarkan arahan mengingatkan pegawai berkenaan untuk mematuhi peraturan kewangan kerajaan. 

– Bernama/maa.

1 comment:

Anonymous said...

Diharapkan perkara yang sama tidak berulang pada tahun depan untuk Tahun Melawat Malaysia 2013.