Saturday, October 1, 2011

Had umur bersara perlu ambil kira kesihatan - CUEPACS

JOHOR BAHRU 1 Okt. — Faktor kesihatan akan menjadi perkara yang penting dalam menentukan had umur persaraan penjawat awam yang dicadang dinaikkan daripada 58 ke 60 tahun, kata presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Beliau berkata ini bagi memastikan penjawat awam mampu memikul tugas untuk membantu melaksanakan agenda kerajaan dalam membangunkan negara.

"Hanya mereka yang benar-benar sihat dan cergas boleh dilanjutkan had umur persaraan mereka kerana kita tidak mahu mereka asyik mengambil cuti sakit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Kebangsaan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Beliau juga berkata, ramai penjawat awam akan memilih untuk bersara khasnya wanita dan ini akan menjadikan hanya 40 peratus sahaja penjawat awam yang bakal bersara, dijangka terus bekerja sehingga usia 60 tahun.

Omar juga menjelaskan bahawa apa yang CUEPACS mahu ialah lanjutan umur persaraan tidak diberikan secara opsyen seperti sekarang di mana penjawat awam terpaksa membuat permohonan terlebih dahulu untuk bekerja secara kontrak hingga usia 58 tahun.

Sehubungan itu katanya, satu mekanisme khas perlu diwujudkan bagi menentukan penjawat awam boleh terus berkhidmat sehingga usia 60 tahun. 

— Bernama

No comments: