Wednesday, December 21, 2011

ANALISIS: PERCANGGAHAN SBPA PERLU SELESAI DI MEJA RUNDINGAN

Pelbagai penambahbaikan skim baru penjawat awam masih samar, tiada hitam putih

BUDAYA mengugut seperti didakwa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya 1.4 juta kakitangan awam ‘menandatangani borang kosong’ opsyen penerimaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam tempoh dua minggu, mulai 16 Disember lalu perlu diselesaikan segera kerana ia bukan perkara mudah seperti dianggap JPA. Kekecewaan diluahkan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman sehingga mahu mengadu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis ini, khususnya mengenai kelemahan skim baru berkenaan seharusnya membuka mata kepada pelbagai pihak, khususnya Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Abu Bakar Abdullah. Mekanisme pelaksanaan skim pemisah atau exit policy dalam SBPA bagi mereka yang menerima markah kurang daripada 70 peratus bagi tiga tahun berturut-turut selepas penilaian dibuat pegawai mereka, sekali gus boleh dibersarakan awal berbanding 50 peratus ketika Skim Saraan Malaysia (SSM) dan kegagalan JPA menyediakan jadual tangga gaji SBPA untuk diteliti kakitangan awam menjadi isu pokok yang dipertikaikan CEUPACS.

Ini belum lagi membabitkan soal kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki. Paling janggal apabila JPA tidak memanggil langsung wakil CUEPACS ketika merangka SBPA, sedangkan ia membabitkan masa depan 1.4 juta kakitangan awam.

“Saya yakin Perdana Menteri tidak tahu wujud kelemahan dalam pengenalan skim ini kerana tidak diberi penjelasan terperinci oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab (JPA) menerangkan kepada beliau dan kami yakin beliau akan faham masalah kami.

“Justeru, kami menggesa setiap kakitangan awam supaya tidak menandatangani surat opsyen menerima skim itu sehingga kami selesai pertemuan dengan Perdana Menteri,” kata Omar ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM), tiga hari lalu.
SBPA diumumkan Najib ketika membentangkan Bajet 2012 pada Oktober lalu bagi menggantikan SSM mulai awal tahun depan, menawarkan pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam melalui skim pencen, pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus, elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

Matlamat murni SBPA mahu mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi pada masa depan pastinya akan menempuh onak dan duri jika pada peringkat mahu dilaksanakan lagi menimbulkan pelbagai persoalan, selain mendapat bantahan kesatuan yang memayungi perkhidmatan awam.

“Ini hanya mewujudkan budaya bodek pegawai dan selepas ini kita akan lihat ramai kakitangan sokongan keluar minum bersama pegawai di kantin pejabat supaya mereka dinilai dengan markah yang baik setiap tahun,” kata Omar.

Sama ada sedar atau tidak, JPA seharusnya memikirkan kesan jangka panjang yang perlu ditanggung kerajaan, terutama ketika kepemimpinan negara di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) sedang rancak menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.

Mahu atau tidak, perlu diakui, Parlimen Putrajaya menempatkan pusat pentadbiran kerajaan amat memerlukan sokongan kakitangan kerajaan yang ketika ini menjadi 90 peratus daripada pengundi di kawasan itu. Paling menarik, 90 peratus daripada pengundi di situ adalah daripada kumpulan sokongan.

Hakikatnya, kakitangan awam adalah penyokong kuat kerajaan dan sewajarnya suara hati mereka didengar dan diberikan perhatian. Mereka bukan meminta di luar kemampuan kerajaan, sebaliknya mengharapkan kerajaan membela hak atau sekurang-kurangnya mendengar dulu masalah mereka. Ini peluang terbaik bagi kerajaan, khususnya JPA mendengar rungutan mereka sebelum PRU-13 datang.

Pilihan raya umum pada 1999 menyaksikan Terengganu di bawah kepemimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad ‘terlepas’ daripada BN ke tangan PAS kerana ‘gelombang hijau’ begitu ketara dalam kalangan kakitangan awam. Pendekatan ‘Acu Ubah Sekali’ berjaya menguasai minda kakitangan awam yang akhirnya mengundi pembangkang, selain faktor ‘cah keting’ dalam kalangan kepemimpinan UMNO negeri ketika itu.

Keprihatinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang menghargai usaha CUEPACS mahu menjelaskan secara terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap SBPA memperlihatkan komitmen beliau yang mahu isu ini diselesaikan segera.

“Tujuan kerajaan ialah membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi jika mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan supaya perkara itu boleh ditangani,” katanya sekali gus menggambarkan ruang perbincangan antara JPA dan CUEPACS masih terbuka luas.

Kita berharap ‘kata dua’ Abu Bakar sebelum ini hanya penjawat awam yang mempunyai alasan munasabah dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh 31 Disember ini seperti sakit atau berada di luar negara dan mereka yang tidak menerima opsyen itu akan kekal kepada skim perkhidmatan lama, sekali gus tidak akan menerima sebarang penambahbaikan dikaji semula demi mendapatkan keadaan ‘sama-sama menang.’

Dasar pemisah atau exit policy yang ketika ini menjadi isu utama SBPA sewajarnya diteliti semula bagi mengelakkan pandangan kononnya dasar itu sama seperti mahu dilaksanakan pembangkang, terutama DAP bagi mengurangkan jumlah kakitangan awam jika berjaya menguasai Putrajaya.

No comments: