Sunday, December 4, 2011

CUEPACS bantah Jusa, Turus diisi pihak luar

KUALA TERENGGANU 4 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengisi jawatan utama perkhidmatan awam iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus dengan kepakaran luar terutama dari sektor swasta.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, cadangan ini jika dilaksanakan, seumpama menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu.

Menurut beliau, seharusnya keutamaan jawatan itu diberi kepada penjawat sedia ada terutama golongan muda yang mempunyai idea dan kebolehan agar kualiti kerja dapat ditingkatkan.

"Kenapa perlu ambil orang luar yang tidak tahu apa-apa tentang jabatan kerajaan sedangkan kita tahu masih ramai penjawat awam yang berkebolehan untuk menjawat jawatan itu.

"Kalau sudah tiada (penjawat awam) yang layak... mungkin orang luar boleh mengisinya, tetapi dengan syarat bukan semua jawatan ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat mengenai Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SSBPA) dan Pembangunan Bersepadu Penilaian Kompetensi (Prospek) di Stadium Negeri di sini hari ini.

Omar mengulas laporan akhbar sebelum ini berkaitan cadangan untuk mengubah suai skim JUSA dan Turus bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil mengisi jawatan itu.

"Pihak kami juga telah memanjangkan perkara ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membantah cadangan itu,” katanya. 

- Bernama/maa.

1 comment:

Anonymous said...

kami turut bantah jika kemasukan dari luar tidak mahir atau tidak faham mengenai organisasi ini. ia menbawa lebih banyak keburukan dari kebaikan...