Thursday, December 22, 2011

JPA, CUEPACS ADAKAN RUNDINGAN MENGENAI SBPA JUMAAT

SERDANG, 22 Dis (Bernama) -- Satu rundingan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs akan diadakan Jumaat bagi menentukan sama ada pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan ditangguhkan atau tarikh mengembalikan borang opsyen dilanjutkan.

Keputusan itu dibuat hasil pertemuan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri pagi tadi, yang turut disertai pegawai tertinggi Cuepacs, anggota kesatuan serta wakil daripada JPA.

Bercakap kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan anggota Cuepacs di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Khamis sebaik selesai bertemu Perdana Menteri, Omar berkata Perdana Menteri mahu isu SBPA diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.

"Perdana Menteri berharap isu SBPA mesti dirundingkan bersama-sama antara JPA dan Cuepacs sehingga persetujuan bersama tercapai, barulah ia boleh dilaksanakan," katanya.

JPA dalam satu kenyataan pada Khamis mengesahkan akan mengadakan perbincangan itu bersama Cuepacs bagi membincangkan segala isu yang dibangkitkan.

-- BERNAMA

No comments: