Friday, December 30, 2011

SBPA Tawar Kenaikan Gaji, Pencen Lebih Baik

KUALA LUMPUR – Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan memberi faedah kepada penjawat awam menikmati kenaikan gaji dan jumlah pencen lebih baik berbanding Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata SBPA merupakan semakan semula, dan bukan penambaikan kerana skim gaji serta wang persaraan penjawat awam tidak disemak bagi satu tempoh yang lama.

“Sebagai contoh, sekiranya penjawat awam menerima SBPA sebelum tarikh tutup pada 15 Jan 2012, beliau akan menerima kenaikan gaji yang dikira bermula 1 Jan berbanding sekiranya penjawat awam enggan menerima skim baru tersebut,” katanya selepas diwawancara dalam program Helo Malaysia terbitan Bernama TV di Wisma Bernama malam Khamis.

Mengenai pindaan markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) daripada 75 peratus kepada 65 peratus untuk kenaikan gaji, beliau berkata ia tidak menjadi masalah.

Kajian JPA menerusi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) mendapati hanya 0.4 peratus penjawat awam gagal mencapai LPNT yang ditetapkan bagi 2010, katanya.

Oleh itu, Abu Bakar berkata tidak timbul isu JPA menurunkan standard LPNT ekoran penurunan kepada 65 peratus kerana akhirnya prestasi penjawat awam akan dinilai pihak berkepentingan iaitu pelanggan dan rakyat.

Jumaat lepas, JPA bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan, bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun kekal esok (30 Dis). – BERNAMA

No comments: