Monday, December 12, 2011

SBPA: JPA NAFI PEGAWAI TINGGI TERIMA PERUBAHAN GAJI HINGGA RM5,000


PUTRAJAYA, 7 Dis – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan dakwaan bahawa sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) memberi kenaikan gaji yang terlalu tinggi bagi penjawat Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Premier berbanding mereka di kumpulan sokongan yang kini dikenali sebagai Kumpulan Pelaksana.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, andaian dan tanggapan sedemikian adalah tidak betul kerana kadar upah di bawah sistem saraan mengambil kira semua aspek agar ia dapat memenuhi sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Sambil mengakui memang ada cakap-cakap sedemikian dalam dunia siber, Abu Bakar memberitahu, kakitangan awam kena melihat secara menyeluruh dan manfaat jangka panjang daripada SBPA.

“Apa yang mereka lihat adalah jangka pendek... itu persepsi mengenai manfaat jangka pendek. Mereka kena melihat kemudahan dan gaji dari segi jangka panjang,” kata beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran Pekeliling SBPA di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau ditanya soalan sama ada ada kebenaran berhubung rungutan dan aduan sestengah pihak bahawa kakitangan peringkat rendah hanya menerima perubahan gaji yang kecil manakala pegawai di Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Premier sebaliknya.

SBPA mewujudkan empat hierarki perkhidmatan awam iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

Di bawah SBPA yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini, peruntukan gaji secara ‘single point’ tanpa kenaikan gaji tahunan diberikan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan kenaikan gaji tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi.

SBPA juga menyediakan peruntukan jadual gaji sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Sekarang mereka berada dalam sistem gaji tiga baris atau tiga lapisan.

Kesemua 1.4 juta kakitangan awam termasuk mereka yang masih di bawah Sistem Saraan Baru (SSB), yang diperkenalkan pada 1991 sebelum digantikan dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) akan diberi opsyen sama ada mahu menerima SBPA ataupun sebaliknya.

Jika mereka memlih untuk kekal dalam SSB dan SSM, mereka akan menikmati sistem saraan lama.

Tempoh opsyen selama dua minggu akan berakhir 31 Disember dan Abu Bakat menyifatkan masa itu memadai untuk membuat keputusan.

Mengulas lanjut mengenai rungutan bahawa Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Premier menerima perubahan gaji sehingga RM5,000, Abu Bakar tidak menolak kemungkinan ia dikaitkan dengan kedudukan gaji peringkat maksimum.

Misalnya kata beliau, seorang pemandu yang kini menerima gaji bersama elaun sebanyak RM1,222, di bawah SSM, akan dibayar RM1,425 di bawah SBPA.

“Itu adalah kadar minimum. Maksimum pula RM2,965 di bawah SBPA berbanding RM1,882 di bawah SSM... jadi ada kenaikan lebih RM1,100,” katanya.

Bagi kakitangan di bawah Gred 48, gaji minimum adalah RM4,431 manakala SBPA pula RM4,520. Dalam pada itu gaji maksimum gred itu di bawah SSM dan SBPA masing-masing RM6,439 dan RM8,840 iaitu perbezaan sekitar RM2,400.

“Jadi kita kena melihat jangka panjang dengan kemajuan kerjaya penjawat-penjawat awam,” kata beliau lagi.

Sambil menegaskan SPBA bukannya satu pelarasan gaji, Abu Bakar menambah, secara purata perubahan gaji adalah antara tujuh sehingga 13 peratus.

Pekeliling berkenaan pelaksanaan SBPA dikeluarkan hari ini.

No comments: